Assalamualaikum w.b.t. segala puji kepada Allah yang maha mencipta yang menjadikan malam dan siang silih berganti. Selawat serta salam buat Rasul junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Alhamdulillah, jutaan kesyukuran kerana dipanjangkan usia dan masih diberi kesempatan oleh Nya untuk menghirup udara yang bersih di Tanjong Malim ini. Kesempatan subuh yang hening ini saya ingin mengajak rakan-rakan pembaca sekalian untuk merenung kembali apakah peranan kita sebagai seorang sahabat, rakan ataupun kawan untuk bersama-sama mengajak kawan-kawan kita untuk bersembahyang.

               Hasrat untuk menulis entry ini datang setelah sekian lama memendam rasa. Rasa takut, bersalah, berdosa dan sebagainya kerana tidak berjaya menyedarkan rakan-rakan tentang hakikat kewajiban solat 5 waktu. Allah s.w.t.  telah mensyariatkan perintah solat secara terus kepada nabi Muhammad s.a.w semasa peristiwa isra’ dan mijra’. Ini merupakan perintah yang datangnya terus dari Allah s.w.t  tanpa melalui perantaraan malaikat jibrail. Bayangkan betapa besarnya solat jika dilihat dari segi penurunan perintahnya kepada manusia.

               Saya melihat pada hari ini, ramai yang semakin lama semakin mengabaikannya. Ada sesetengah daripada kita yang hanya solat setahun sekali (solat hari raya), seminggu sekali (solat jumaat) dan ada juga yang solat sekadar untuk menyatakan bahawa saya sudah bersolat. Itu belum dikira lagi mengenai mereka hanya bersolat untuk waktu-waktu solat yang tertentu dan membuat hukum sendiri iaitu tidak mengapa kalau tidak solat sebab mengantuk, tak dapat bangun kerana semalam tidur lewat untuk menyiapkan tugasan dan pelbagai lagi alasan yang diberikan tanpa melakukan usaha untuk menunaikan solat tersebut. Malahan ada yang sudah dikejut untuk solat tetapi hanya bangun kemudian tidur kembali tanpa mengerjakannya.

               Parasaan sedih ini terus berlarutan, sedih kerana mengapa ramai yang tidak dapat merasa betapa manisnya hikmat solat itu. Solat merupakan tiang agama yang mana merupakan soalan pertama yang akan disoal dan dihisab di alam kubur nanti. Jika rosak solat kita, maka segala amalan lain turut tidak diterima oleh Allah s.w.t.. dengan kata yang mudah tidak guna amalan baik yang lain jika tidak bersolat.

              Solat merupakan benteng agama dan umat Islam. Jika kita melihat mengapa umat Islam sekarang tidak segah dulu. Kekuasaan ekonomi, politik, pembangunan dan banyak lagi pada hari ini banyak dikuasai oleh orang bukan Islam. Dimanakah kekuatan yang dibina oleh rasul kita pada suatu masa dahulu. Imbas kembali zaman kegemilangan Islam dimana Islam dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang mengutamakan ajaran dan pelaksaan ajaran Islam, Negara mereka maju seiring dengan kemajuan sahsiah mereka. Begitu juga dengan tahap pemikiran, ilmu, teknologi mereka semua bergerak seiring. Dimanakah kekuatan mereka? Jawapannya senang kuncinya adalah solat. Solat berjemaah. Subhanallah

               Oleh itu, wahai sahabat-sahabatku sekalian marilah bersama-sama kita mengerjakan solat dan yang lebih afdal solat berjemaah. Ikhlaskan hati dan cuba untuk mula mengerjakannya,ingatlah bukan hipokrit jika mengerjakan secara terpaksa tetapi ia melatih kita untuk terus melakukannya dengan hati yang ikhlas, insyaallah. Moga-moga Allah terus membuka hati kita untuk terus bersama-samanya, amin.

 

Assalamualaikum w.b.t., Alhamdulillah, segala puji kepada ar-Rahman dan ar-Rahim Tuhan sekian alam yang mentadbir langit dan bumi serta segala isinya dengan tanpa ada sedikit pun cela. Selawat juga salam keatas Rasul junjungan Nabi Muhammad s.w.t.. Alhamdulillah bulan Ramadhan yang mulia baru sahaja meninggalkan kita. Semoga segala amalan dan kebaikan yang kita usahakan sepanjang bulan tersebut diterima oleh Allah s.w.t. dan harapan terbesar adalah untuk berjumpa kembali dengannya pada tahun hadapan, insyaallah.

                Sudah menjadi tradisi bagi masyarakat Islam di Malaysia Syawal disambut dengan meriah, rumah dihias bagai istana, pelbagai juadah turut disediakan bagi meraikan para tetamu yang berkunjung ke rumah. Amalan rumah terbuka menjadi amalan yang popular. Budaya unik ini jarang sekali ditemui di Negara lain di dunia ini. Tuan rumah menerima tetamu yang datangnya dari pelbagai budaya dan bangsa dengan tangan yang terbuka. Budaya ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan malahan hubungan silaturahim antara sahabat, saudara-mara, dan masyarakat setempat.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir & Batin

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir & Batin

                Selain rumah terbuka, adat berkunjungan masih menjadi tradisi bagi masyarakat Melayu di Malaysia. Budaya ini semakin terhakis dengan adanya budaya rumah terbuka kerana rata-rata antara kita mengamalkan prinsip tanpa dijemput, seseorang itu adalah tidak diundang untuk bertandang ke rumah seseorang. Akan tetapi tersirat kelebihan bagi Aidilfitri iaitu sesiapa sahaja dialu-alukan untuk saling menziarahi pada waktu ini. Tuan rumah akan menerimanya dengan hati terbuka.

               Saya ingin menyentuh sedikit berkenaan dengan amalan ziarah-menziarahi  ini kerana ada sesetengah diantara kita yang memandang enteng mengenai amalan ini. Ziarah-menziarahi bukan sahaja dapat mengiratkan tali silaturahim bahkan menjadi satu medan untuk kita berkongsi kisah suka duka, pengalaman, berkenalan dan sebagainya. Pada masa inilah kanak-kanak akan belajar mengenali orang-orang tua, mengenali saudara-mara dan masyarakat setempat. Tanpa amalan ini tidak mustahil, pada suatu ketika nanti apabila anak kita berjumpa dengan bapa sudaranya sendiri tetapi tidak bertengur sapa kerana masing-masing tidak mengenali antara satu sama lain.  

                 Selalunya budaya menziarahi pada Aidil Fitri amat sinonim dengan amalan memberi duit raya, amalan ini merupakan suatu sedekah, dalam masyarakat Melayu kebiasaannya apabila seseorang itu telah mempunyai pendapatan ataupun sudah berkahwin mereka akan memberikan sejumlah wang yang kebiasaannya dimasukkan kedalam sampul yang dikenali sebagai sampul duit raya kepada kanak-kanak, ini sedikit berbeza dengan masyarakat cina yang mana mereka memberikan ang pau (sama seperti duit raya) daripada mereka yang sudah berkahwin kepada mereka yang belum berkahwin tanpa mengira berapa usia si penerima. Jumlah duit raya yang diberi bergantung kepada kemampuan dan keikhlasan si pemberi.

                 Satu perkara yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa ialah amalan dan adab member dan menerima duit raya. Ia  bukanlah satu amalan yang  wajib. Ia merupakan sesuatu sedekah dan dengan adanya ia juga ia menimbulkan mood hari raya itu sendiri. Jadi nasihatilah anak-anak supaya tidak meminta tetapi menerima seadanya sekiranya diberi. Jangan mempertikaikan sekiranya tidak diberikan ataupun berapa nilai yang diberikan kerana ianya bukan suatu yang wajib yang terkandung dalam ibadat. Nasihatilah juga anak-anak mahupun adik-adik kita yang pergi beraya supaya tidak membuka sampul duit raya dan mengiranya dirumah tuan yang memberikan duit raya tersebut kerana berkemungkinan ia akan menimbulkan aib bagi si pemberi dan kelihatan agak kurang sopan.

Setelah setahun menunggu kini tiba sudah bulan yang penuh dengan keberkatan dan keampunan. Ramadhan. Kehadiranmu dinanti-nanti oleh sesiapa jua yang tahu akan kelebihanmu, syafaat yang kau bawa, rahmat dan nikmat pengampunan yang terselindung disebalik kehadiranmu yang sungguh mulia ini. Bahagialah mereka yang berpeluang bertemu denganmu dan memanfaatkan segala kelebihan disebalik kemuliaanmu. Aku amat merindui Lailatul Qadar, dimana letaknya didalammu. Adakah pernah aku melalui dan memanfaatkan mu wahai hari yang terkandung 1000 gandaan kebaikan. Aku berharap agar tahun ini aku bertuah untuk menghidupkan mu wahai malam al-Qadar. Kerana tidak aku tahu adakah aku masih berkesempatan untuk bertemu dengan mu lagi atau tidak pada tahun hadapan. Untuk tahun ini pun aku masih tidak pasti. Menunggu mu ibarat menunggu si bidadari jatuh kepangkuan. Ya Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani terimalah segala amalan ku sepanjang bulan yang penuh berakah ini. Ampunilah segala dosaku dan terimalah amalanku. Sesungguhnya syurga dan keredhaanmu aku dambakan. Jikalau sampai masaku habiskanlah aku didalam iman dan tempatkanlah aku disamping hamba-hambamu yang soleh.

Minggu ini bagi saya merupakan minggu yang amat sibuk. Mungkin ada yang bertanya kenapa sibuk? Bukankah peperiksaan dah habis? Sebenarnya buat masa sekarang saya amat sibuk untuk menyiapkan proposal untuk laporan akhir sarjana muda yang ada menggelarnya sebagai tesis ( tesis sebenarnya lebih sesuai untuk digelar kepada laporan pelajar sarjana ataupun kedoktoran sebanarnya). Masa banyak dihabiskan dengan mencari bahan yang berkaitan dan mengarang serba sedikit untuk dijadikan proposal untuk dihantar dan dinilai samaada boleh dijalankan atau tidak kajian tersebut.

Menghitung hari untuk membentangkannya dihadapan dua pensyarah yang berpengalaman iaitu Prof. Madya Dr. Abu Hassan Bin Kasim dan Puan Faridah membuatkan hati ini sedikit berdebar. Walaupun boleh dikatakan mengenai Prof. Madya Dr. Abu Hassan disebabkan mengambil subjek yang diajar oleh beliau pada semester ini tetapi perasaan gementar itu tidak dapat dielakkan tambahan lagi bagi membentangkan proposal yang berkaitan dengan “content”.

Sebagai kumpulan perintis di UPSI yang menjalankan kajian dalam bidang pure chemistry bagi para pelajar jurusan Sarjana Muda Pendidikan Sains Kimia sudah pasti banyak cabaran yang terpaksa dilalui dan ditempuhi. Semaklum saya hanya 3 orang supervisor sahaja yang menyelia para pelajar untuk membuat kajian didalam bidang ini iaitu Prof. Madya Dr. Ismail Bin Zainol (ketua jabatan kimia, dan merupakan seorang yang cukup berpengalaman dalam bidang kimia, penghasilan produk dan pernah berkhidmat di sirim), Dr. Maarof Bin Zainal Abidin (penyelidik di Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki, UPSI) dan En. Illias (seorang yang cukup berpengalaman dalam kimia analisis dan sering menang dalam pertandingan inovasi didalam mahupun diluar negara).

Tempat Pertapaanku selama seminggu

Tempat Pertapaanku selama seminggu

Saya tidak terkecuali menjadi salah seorang dibawah seliaan mereka iaitu dibawah Dr. Maarof Zainal Abidin. Saya sungguh bersyukur kerana menjadi salah seorang yang terpilih untuk mengadakan kajian dalam bidang content ini. Walaupun Dr. cukup sibuk tetapi sanggup meluangkan masa untuk membantu kami. Terima Kasih Dr.. Tajuk yang saya pilih untuk kajian ini ialah A Study of Bioplastic Material Prepared from Corn Cellulose Waste. Tajuk ini merupakan tajuk yang agak mencabar kerana sebelum ini kebanyakkan bioplastic yang dicipta sebelum ini adalah daripada starch iaitu kanji dan bukannya daripada celulose. Insyaallah pada entry yang akan datang saya akan mengupas serba sedikit mengenai tajuk yang akan saya buat kajian ini.

Saat selepas minggu peperiksaan merupakan saat yang paling dinanti-nanti oleh semua orang tidak kira di peringkat mana tahap pembelajaran mereka, di sekolah, matrikulasi, university mahupun bagi sesiapa sahaja yang mengangap peperiksaan itu satu kemestian yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Saat selepas peperiksaan, bagaikan menyambut kemerdekaan dari pelajaran tetapi tidak harus dilupai bahawa pelajaran bukan sahaja untuk peperiksaan tetapi ianya sebagai kemestian yang perlu dilalui untuk hidup dimuka bumi ini.

Hidup tanpa pelajaran atau pengajaran umpama seekor ayam yang menghulurkan kepalanya untuk disembelih. Hal ini kerana tidak berguna hidup seseorang itu jika ia tidak mengambil pengajaran dalam hidupnya. Insan ini boleh juga dinamakan insane buta sejarah. Mereka pernah melalui sejarah itu, akan tetapi mereka tidak tahu untuk mengambil pengajaran daripadanya. Kesilapan yang sama kerap diulang malahan sampai ke satu tahap menjadi rutin kepadanya untuk melakukan kesalahan tersebut walaupun pernah ditegur. Sesungguhnya semalam tidak boleh mengubah nasib kita dihari ini tapi sedarlah bahawa hari ini masih boleh mengubah apa yang akan dilalui esok.

Berbalik kepada tajuk tadi, saat selepas peperiksaan inilah saat untuk mereka melepaskan rindu kepada keluarga, masa yang ada diambil dan digunakan semaksima mungkin kata pelajar sains seinfiniti mungkin untuk dimanfaatkan bersama keluarga tersayang. Keluarga yang terpaksa dikorbankan demi masa depan yang menjanjikan harapan yang lebih baik. Saat berjauhan, keluarga merupakan sumber inspirasi hati yang paling kuat bagi menangkis segala onak duri yang cuba menggangu pembelajaran.

Mungkin pesanan ibu dan ayah dapat mengubat duka tika tewas semasa dimedan quiz mahupun semasa melihat markah kerja kursus. Tangan selalunya digagahkan untuk menelefon ibu dan ayah untuk mengadukan hal ini. Walaupun tahu hal ini akan mengundang malu diri dan bakal dileteri tetapi itu semua akan diakhiri dengan kata-kata semangat yang cukup bermakna.keluarga bahagia

keluarga bahagia

Kala cuti ini hajat dihati untuk balik ke kampong menjenguk mereka dan mengucapkan jutaan terima kasih atas segala sokongan dan harapan yang menjadi pembakar semangat sepanjang pengajian. Mungkin tidak semua boleh menghabiskan masa bersama keluarga semasa cuti semester ini, bagi mereka yang berjauhan dengan keluarga kekangan kewangan sering menghimpit dan perlu difikirkan untuk pulang menjenguk mereka. Tapi nasihat saya walaupun kekangan kewangan menghimpit janganlah menjadikannya satu alasan untuk melupakan terus mereka.

Bagi mereka yang ingin benar untuk menjenguk keluarga dikampung janganlah menjadikan matlamat itu bagi menghalalkan cara. Maksud saya disini sebagai contoh, janganlah jadikan keluaga sebagai alas an untuk membenarkan anda mencuri. Fikirlah baik dan buruk yang anda akan terima, saya jamin untuk memastikan jika ditimbang tarakan antara baik dan buruk sudah pasti yang buruk itu akan melampaui yang baik.  

Alhamdulillah hari ini, tanggal 04 Mei 2009 merupakan hari terakhir bagi saya untuk melengkapkan peperiksaan bagi kertas terakhir iaitu kertas Kimia Polimer. Peperiksaan yang berlangsung selama 2 minggu lebih ini boleh dikatakan cukup memenatkan tambahan pula pada semester ini tiada minggu ulangkaji diberikan kepada para pelajar pada semester ini. Disini saya ingin mengajak saudara-saudari pembaca sekalian untuk merenung tentang satu hak pelajar terhadap minggu ulangkaji.

study walau dimana jua
study walau dimana jua

Minggu ulangkaji ataupun lebih familiar sebagai Study Week dikalangan para penuntut universiti kebiasaannya adalah satu minggu yang mana diperuntukkan kepada para pelajar untuk mengulangkaji semua pelajaran secara keseluruhan. Saya lebih gemar menggelar minggu ulangkaji ini sebagai minggu bertenang dimana, selama 14 minggu seorang pelajar itu bertungkus lumus untuk menyelesaikan pengajiannya dan masa seminggu ini diambil untuk merumuskan semua pengajian yang telah dipelajari disamping menyelesaikan masalah pembelajaran yang tertangguh seperti menguraikan bab yang tidak difahami ketika didalam kuliah.

Kebanyakkan kita akan menggunakan minggu ini sebaik mungkin kerana ia adalah minggu yang tidak terikat kepada sebarang kuliah. Jadual pembelajaran dapat diatur dengan kesesuaian diri sendiri. Mata pelajaran yang penting boleh diutamakan dan diberi lebih tumpuan. Masa ini juga boleh dijadikan oleh para pelajar untuk menganalisis bentuk soalan yang bakal ditanya dalam peperiksaan  berdasarkan kepada kertas-kertas ujian semester lepas. Bagi pelajar yang bijak,dengan analisa kertas-kertas peperiksaan sebelum ini disamping rujukan bersama sukatan pelajaran ataupun rancangan instruktional dapat membantu untuk sedikit sebanyak menjangka soalan apa yang bakal ditanya. Peluang ini diambil untuk menumpukan kepada topik-topik polular untuk diberi keutamaan.

Tidak semua diantara kita berpeluang untuk mendapat masa yang cukup untuk menghabiskan masa untuk semata-mata belajar dan mengulangkaji. Ibarat kata minggu ulangkaji ini digunakan oleh para pelajar untuk menampal lompong-lompong isi-isi pengajian yang tertinggal sebelum ini. Pada mereka yang tidak berkesempatan akan menggunakan waktu ini untuk menemui para pensyarah bagi menyelesaikan masalah pembelajaran yang tertinggal. Begitula pentingnya minggu ulangkaji bagi seorang pelajar, oleh itu saya ingin melontarkan pandangan ini kepada pihak yang berkenaan agar tidak menafikan nak pelajar untuk mendapatkan minggu ulangkaji. Sesungguhnya ianya penting bagi kami. Huhuhhuu

Sahabat

Aku hanya insan biasa

Punya hati, punya perasaan

Tidak terlepas melakukan kesilapan

Insan yang diciptakan olehNya

Untuk diuji didunia fana ini

Aku sedar

Diriku bagimu tiada sebarang erti

Ibarat melukut ditepi gantang

Tiada menambah, tidak jua mengurang

Sahabat

Ingatlah pesanku

Persahabatan itu berbeza

Dari cinta dua jantina

Jangan kau memandang serong

Kepada mereka yang

Mencintai sahabatnya

Kerana persahabatan itu

Tidak buta, tidak seperti cinta

Ia mengenalmu tanpa ada

Rasa nafsu dan kebendaan

Sahabat

Jangan kau salah ertikan

Maksudku ini

Hambal87,

8 Februari 2009, 11.52pm